Ads 468x60px

KOPERASI IKATAN PERPADUAN NEGERI SEMBILAN BERHAD

Laman Utama

SERTAI SAYA BANGUNKAN KOPERASI INI

Sebuah perjuangan kecil untuk Islam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Koperasi ini lahir atas kesedaran dan keinsafan ingin melihat anak bangsa dan masyarakat Islam di negara ini berjaya dalam bidang ekonomi dan perniagaan, setanding dengan bangsa-bangsa lain yang telah maju ke hadapan dalam bidang ekonomi,  perniagaan dan perindustrian.

Ia juga bagi menyahut tuntutan agama bagi menunaikan fardhu kifayah dengan sama-sama mengambil bahagian secara serius bagi membantu membangunkan ekonomi Islam melalui penyertaan dalam aktiviti-aktiviti ekonomi dan perniagaan serta perindustrian.

Mungkin terlalu besar untuk menganggap usaha kecil ini sebagai sebuah perjuangan dan satu jihad, tetapi cukuplah sekadar menyatakan  bahawa koperasi ini ingin turut serta mengambil bahagian sekadar yang termampu untuk  menyumbang bakti kepada kemajuan bangsa dan Islam melalui aktiviti ekonomi dan perniagaan yang dituntut Islam.

Kami sedar dan insaf usaha kecil ini tidak akan dapat dijayakan jika ia dilakukan bersendirian, sebaliknya ia mampu menjadi impetus dan kuasa yang kuat bagi menggerakkan ekonomi ummah, jika dilakukan secara bersama-sama, dan seterusnya  memberi faedah secara langsung kepada umat Islam.

Maka saya dengan penuh keinsafan menyeru saudara-saudara saya, sahabat-sahabat saya dan masyarakat Islam menyertai saya dan rakan-rakan yang lain bagi menggerakkan koperasi ini, menyertai rakan-rakan kita dalam koperasi ini yang mempunyai hasrat dan matlamat yang sama untuk membantu membangunkan ekonomi Islam melalui pelbagai usaha.

Namun, sebagai sebuah koperasi, sesuatu aktiviti ekonomi dan perniagaan yang dirancang itu tidak akan dapat dilaksanakan tanpa mempunyai ahli yang mencukupi.

Ahli merupakan jentera dan ejen terpenting bagi kejayaan sesebuah koperasi kerana tanpa ahli, sesebuah koperasi itu tidak akan ke mana.

Selalunya, masyarakat akan bertanya apakah faedah yang akan mereka perolehi sekiranya mereka menyertai sesebuah koperasi. Sebenarnya, fahaman sedemikian adalah tidak tepat dan perlu dihentikan.

Sebaliknya, masyarakat harus mengubah persepsi ini dengan menggantikannya dengan fahaman yang positif dan baru dengan terlebih dahulu menyokong koperasi tersebut dengan menyertainya sebagai ahli.

Ini kerana, ahlli bukan sahaja merupakan jentera pengerak bagi sesebuah koperasi, tetapi ahli juga merupakan sumber modal bagi sesebuah koperasi untuk melaksanakan sebarang projek yang dirancang.

Jika ramai anggota masyarakat menyertai koperasi berkenaan, maka besarlah dana dan modal yang dapat dikumpulkan oleh sesebuah koperasi itu dan modal yang besar itu dapat digunakan untuk melaksanakan projek-projek yang viable dan menguntungkan.

Apabila koperasi sudah dapat menjana keuntungan, maka banyaklah faedah yang dapat disalurkan kepada ahli dalam bentuk dividen, bonus, pekerjaan, peluang perniagaan, dermasiswa, pinjaman, khairat kematian dan pelbagai kemudahan dan faedah lain.

Atas dasar itu, saya menyeru kepada tuan-tuan, puan-puan, saudara-saudara saya, sahabat-sahabat dan rakan-rakan yang mendokong matlamat dan perjuangan yang sama untuk menyertai koperasi ini sebagai ahli dan membantu saya dan rakan-rakan yang lain untuk menjayakan aktiviti-aktiviti ekonomi yang telah kami rancang melalui koperasi ini.

Semoga usaha kecil kita ini diberkati Allah s.w.t.

Amin.

Pengerusi Koperasi Ikatan Perpaduan Negeri Sembilan Berhad