Umat Islam wajib mewujudkan rangkaian pengeluaran dan pasarannya sendiri bagi membantu membina ekonomi Islam. Langkah itu penting bagi memastikan pengeluar dan peniaga Islam terus berada dalam pasaran.
Ia bagi mengelakkan umat Islam terus bergantung kepada dunia barat dan dijajah oleh kaum lain daripada segi ekonomi. Bagaimanapun, usaha itu tidak akan berjaya tanpa sokongan seluruh umat sebagai pengguna.
Di Malaysia, ramai peniaga Melayu yang majoritinya beragama Islam gagal dalam perniagaan kerana mereka tidak mempunyai jalinan pengeluaran dan pasaran yang kuat.
Jika dibandingkan dengan peniaga-peniaga Cina, mereka lebih berjaya dalam perniagaan kerana mempunyai rangkaian pengeluaran yang lengkap dan pasaran yang kuat.
Ini ditambah dengan pengalaman mereka yang begitu lama dalam dunia perniagaan sehingga perniagaan menjadi begitu sinonim dengan kaum Cina.
Selain, telah lama menceburi dunia perniagaan dan pengalaman yang luas, peniaga-peniaga Cina berjaya membina rangkaian pengeluaran dan pasaran yang kuat kerana mereka mendapat sokongan padu daripada masyarakat mereka sendiri sebagai pengguna.
Daripada segi hukumnya, membina rangkaian ekonomi Islam merupakan fardhu kifayah.
Pada masa ini, penduduk umat Islam di dunia berjumlah dua bilion dan negara-negara Islam pula terdiri daripada negara-negara pengeluar utama bahan mentah seperti minyak, minyak sawit, getah dan timah.
Jika seluruh umat Islam boleh bersatu dan mengamalkan sikap tolong-menolong dalam perniagaan seperti yang diamalkan oleh masyarakat Cina, umat Islam juga mampu membina rangkaian pengeluaran dan pasarannya sendiri.
Dengan mempunyai rangkaian pengeluaran dan pasarannya sendiri, umat Islam boleh mewujudkan keseimbangan dalam ekonomi dunia. Perlumbaan dalam ekonomi adalah sama seperti perlumbaan senjata antara negara-negara di dunia.
Jika hanya sebuah negara sahaja yang mampu membina senjata berat dan berteknologi tinggi, maka ia akan muncul sebagai negara yang paling berkuasa di dunia.
Keadaan seperti ini sebenarnya tidak baik untuk keselamatan dunia kerana negara berkenaan boleh menguasai dan mengenakan tekanan ke atas negara lain.
Tetapi jika ada sebuah lagi negara yang mempunyai keupayaan membina senjata berat dan berteknologi tinggi, keselamatan dunia akan lebih terjamin kerana ia akan mewujudkan keseimbangan kuasa yang boleh mengelakkan negara kuasa besar tadi menguasai negara yang kecil.