Ads 468x60px

KOPERASI IKATAN PERPADUAN NEGERI SEMBILAN BERHAD

Sejarah


Assalamualaikum wm.wh

Idea untuk menubuhkan Koperasi Ikatan Perpaduan Negeri Sembilan Berhad tercetus atas rasa sedar dan insaf untuk melihat bangsa Melayu di negara ini yang majoritinya beragama Islam, turut maju bersama bangsa-bangsa lain dalam bidang ekonomi dengan melibatkan diri dalam bidang tersebut.

Diukur daripada segi pencapaian, bangsa Melayu masih jauh ketinggalan dalam bidang perniagaan dan perindustrian berbanding bangsa-bangsa lain, kerana tidak mempunyai modal yang besar untuk memulakan sesuatu aktiviti perniagaan serta perindustrian dan kekangan-kekangan lain.

Atas dasar itu, kami berpendapat, kita semua orang Melayu dan Islam di negara ini perlu berbuat sesuatu dan mengemblengkan idea, tenaga dan usaha untuk membetulkan keadaan itu, sekali gus memajukan ekonomi orang Melayu dan Islam.

Maka dari situlah tercetusnya idea untuk menubuhkan koperasi ini.

Ia bermula daripada perbincangan dan kesedaran untuk menyertai aktiviti perniagaan dan perindustrian dan merancang program-program ekonomi yang dapat memberi manfaat kepada ahli dan meningkatkan taraf ekonomi ahli dalam bentuk dividen, peluang pekerjaan, perkhidmatan dan kemudahan-kemudahan lain seperti pendidikan, latihan, kursus, bantuan pendidikan dan khairat kematian.

Kami merasakan salah satu usaha yang berkesan untuk menjayakan usaha itu ialah melalui gerakan koperasi kerana ia menyediakan segala akses yang perlu termasuk kemudahan, bantuan dan khidmat nasihat daripada kerajaan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Setelah mencapai persetujuan, sebuah jawatankuasa penaja telah dibentuk bagi menguruskan penubuhan koperasi ini.

Pada mulanya, beberapa orang ahli jawatankuasa penaja koperasi ini merancang menubuhkan koperasi pusat, supaya lebih ramai orang Melayu yang beragama Islam yang mendokong falsafah dan semangat yang sama, dapat menyertai koperasi ini dan menyumbang idea, tenaga dan usaha bagi menjayakan matlamat koperasi ini, namun atas nasihat SKM, kami memutuskan untuk menubuhkan koperasi negeri bagi mengelakkan berdepan masalah-masalah teknikal yang akhirnya akan merencatkan perkembangan koperasi ini.

Walaupun, koperasi ini didaftarkan di Negeri Sembilan, namun ia bukan sebuah koperasi bersifat kenegerian kerana ia mendokong matlamat yang lebih meluas yang menekankan kepada usaha membangunkan ekonomi bangsa Melayu dan sekali gus mengukuhkan ekonomi Islam.

Segala falsafah, semangat dan matlamat koperasi ini adalah berlandaskan satu perjuangan ingin menyumbang kepada usaha pengukuhkan ekonomi ummah dan Islam melalui jihad ekonomi.

Kami berpendapat melalui koperasi, ahli-ahli dapat mengumpulkan modal yang besar secara berdikit-dikit sesuai dengan perumpamaan Melayu: ``Berdikit-dikit dahulu, lama-lama jadi bukit’’ dan ``Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian’’.

Selain itu, gerakan koperasi yang menekankan  semangat kerjasama yang merupakan sebahagian daripada budaya masyarakat Melayu menepati semangat tolong-menolong dan gotong-royong yang menjadi amalan masyarakat Melayu di negara ini.

Elemen ini boleh dimanfaatkan melalui penyertaan dalam koperasi, bukan sahaja bagi mengumpulkan modal tetapi juga mengemblengkan usaha, tenaga, kemahiran dan kepakaran, pengetahuan, aset untuk menjayakan agenda meningkatkan ekonomi orang Melayu dan sekali gus menyumbang kepada mengukuhkan ekonomi Islam.

Semangat gotong royong dan tolong menolong dalam gerakan koperasi ini boleh menjadi satu kuasa ekonomi yang cukup kuat jika ia digemblengkan dalam bentuk modal saham bagi melaksanakan kegiatan perniagaan.

Seterusnya, modal yang dikumpulkan melalui pelaburan saham dalam koperasi dapat disalurkan bagi melaksanakan program-program perniagaan dan aktiviti ekonomi yang akhirnya dapat memberi manfaat kepada ahli yang menyertai koperasi.

Semangat kerjasama dalam masyarakat Melayu ini juga selari dengan ajaran Islam yang menekankan kepada pentingnya berjemaah dan bersatu dalam menjayakan sesuatu usaha.

Selain itu, melalui gerakan koperasi sesuatu program ekonomi itu dapat dijalankan dengan lebih tersusun, sistematik dan berkesan melalui proses dan peraturan yang ditetapkan.

Melalui koperasi juga banyak program-program berbentuk sosial, pendidikan, kebajikan dan sukan dapat disusun untuk manfaat ahli.

Selain itu, melalui kegiatan koperasi ahli-ahli dapat merapatkan lagi hubungan silatulrahim yang amat ditekankan oleh Islam dan tolong menolong dalam urusan kehidupan.

Setelah mencapai persetujuan satu jawatankuasa penaja telah ditubuhkan bagi menjalankan kempen bagi menjayakan usaha penubuhan koperasi ini dan beberapa perbincangan susulan dibuat bagi mengumpulkan mereka yang berminat menjayakan usaha ini.

Jawatankuasa penaja ini kemudian mengadakan perbincangan dan meminta khidmat nasihat daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) cawangan Negeri Sembilan bagi membantu kami menubuhkan koperasi ini.

Setelah mendapatkan nasihat dan pandangan daripada SKM, jawatankuasa penaja ini kemudian memanggil mesyuarat agung penubuhan koperasi pada 14 Julai 2012.

Mesyuarat penubuhan koperasi ini telah diadakan di No 3961, Kampung Abdullah , 71700 Mantin, Seremban, Negeri Sembilan yang kemudian bersetuju menjadikan lokasi mesyuarat ini sebagai ibu pejabat koperasi ini.

Jawatankuasa penaja koperasi ini telah menghantar minit mesyuarat penubuhan koperasi ini kepada SKM cawangan Negeri Sembilan untuk kelulusan penubuhan dan SKM telah memberi kelulusan rasmi  kepada  penubuhan Koperasi Ikatan Perpaduan Negeri Sembilan Berhad pada 27 September 2012.

Setelah mendapat kelulusan penubuhan dan pendaftaran koperasi ini, ALK koperasi ini telah mengadakan mesyuarat pertama ALK di Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan di Seremban pada 29 Oktober 2012.

Mesyuarat ALK telah memutuskan untuk melantik Encik Mustafa Kamal bin Basri sebagai pengerusi koperasi ini dan Encik Baharin bin Ismail sebagai Timbalan Pengerusi, sementara Puan Ahsimah binti Aman dilantik sebagai Setiausaha.

Pada mesyuarat yang sama, ALK telah membincangkan rancangan masa depan dan projek-projek perniagaan yang akan dijalankan untuk memajukan koperasi ini.
 
Buat permulaan, ALK koperasi ini telah memutuskan untuk memberi penekanan kepada kempen keahlian bagi mengukuhkan kedudukan koperasi.

Selain itu, ALK memutuskan untuk melaksanakan projek restoran sebagai projek pertama koperasi pada tahun 2013.

Sebagai penutup, kami ingin melontarkan soalan ini untuk renungan kita bersama: “Bolehkah usaha kecil/koperasi ini berjaya”

Kami percaya saudara-saudara bersetuju dengan kami bahawa jawapannya ialah “YA” (Boleh berjaya):  “ Jika kita ikhlas mendokong dan menyokong falsafah dan perjuangan ini, berusaha, melakukannya dengan betul, berpengetahuan, berkeyakinan, bekerja keras, berdisiplin dan berserah diri (tawakal) kepada Allah, Insya Allah usaha kita ini akan berjaya”.

Wabillahitaufik ws.wh