Ads 468x60px

KOPERASI IKATAN PERPADUAN NEGERI SEMBILAN BERHAD

Umat Islam Perlu Praktik Budaya Niaga


Bidang perniagaan merupakan kegiatan yang amat penting kerana ia merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia.

Bidang perniagaan amat sinonim dengan Islam. Ia bukan sahaja bidang yang amat  penting kerana ia merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia, tetapi ia merupakan satu Fardhu Kifayah yang amat dituntut oleh Islam.

Kepentingan perniagaan diterjemahkan sendiri oleh Rasulullah S.A.W apabila baginda sendiri turut terlibat dalam bidang perniagaan sejak berusia 12 tahun lagi mengikuti bapa saudaranya berniaga sehingga ke negeri Syam dan baginda meneruskan kegiatan ini sehinggalah baginda berkahwin dengan Siti Khadijah ketika berusia 25 tahun.

Kepentingan perniagaan ini dalam Islam dapat dilihat daripada sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: ``Sembilan daripada 10 punca rezeki itu datang daripada perniagaan’’.

Kepentingan perniagaan dalam Islam banyak disebutkan di dalam Al-Quran dan Hadis. Allah berfirman yang bermaksud: ``Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi Allah dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beroleh kejayaan. (al-Jumuah:10)

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: ``Peniaga yang benar lagi beramanah digolongkan bersama para Nabi, para Siddiqin dan syuhada.’’ (Riwayat at-Tirmizi)
 
Namun, tidak ramai umat Islam menyedari perkara ini termasuk bangsa Melayu yang majoritinya beragama Islam, kerana umat Islam tidak lagi menghayatinya dan mempraktikkannya sebagai sebahagian daripada kehidupan.

Jika perniagaan sinonim dengan Islam, maka orang Melayu turut sinonim dengan perniagaan.

Bidang perniagaan bukanlah sesuatu yang baru dalam budaya masyarakat Melayu sendiri kerana bangsa Melayu pernah menjadi masyarakat pedagang yang berjaya suatu ketika dahulu semasa zaman Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka sehingga Melaka dikenali sebagai pusat perdagangan yang terkemuka di dunia.

Sejarah Melaka membuktikan kemakmuran dan kemajuan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka adalah kerana kemajuan perniagaannya sehingga Melaka menjadi pusat perdagangan terkenal di dunia.

Ketika itu, ramai pedagang-pedagang dari seluruh dunia termasuk dari Eropah, India, Arab dan China menjalankan perdagangan dengan Melaka yang merupakan sebuah pelabuhan penting ketika itu.

Masyarakat Melayu turut menerima Islam melalui perniagaan yang disampaikan oleh pedagang-pedagang Arab yang menjalankan perniagaan mereka dengan Melaka.

Sudah sampai masanya, budaya perniagaan ini dihidupkan semula dalam masyarakat Islam termasuk orang Melayu sebagai satu pekerjaan penting bukan sahaja bagi menyara kehidupan tetapi juga bagi masalahat umat Islam dan seterusnya mengukuhkan ekonomi Islam.

Budaya ini bukan sahaja perlu dihidupkan semula bukan sahaja sekadar pengetahuan tetapi juga dipraktikkan dan disuburkan dengan membina rangkaian perniagaan yang kukuh supaya ia dapat menjadi sumber penting bagi ekonomi umat Islam  dan seterusnya mengangkat martabat Islam itu sendiri.

Rangkaian dalam konteks ini meliputi pengetahuan, sistem, pasaran, pangkalan, sokongan dan penglibatan serta penyelidikan dan pembangunan selain latihan supaya umat Islam mempunyai pangkalan pasarannya sendiri tanpa perlu bergantung kepada pangkalan pasaran bangsa lain.

Ini penting dalam konteks pembangunan dan perkembangan ekonomi global bagi memastikan kedudukan umat Islam terus kuat tanpa perlu bergantung kepada orang lain dan mampu berdikari menyediakan peluang pekerjaan kepada umat Islam dan seterusnya meletak imej agama Islam itu pada kedudukan yang tinggi.

Semua ini tidak akan dapat dilakukan tanpa sokongan umat Islam sebagai pengguna dan semua ini juga tidak akan dapat dilaksanakan tanpa penglibatan umat Islam secara serius dalam perniagaan dengan menyertai aktiviti perniagaan dalam semua bidang.

Seperti yang disebutkan di atas perniagaan mempunyai kaitan dengan kehidupan seharian di mana Islam menekankan tentang pentingnya mencari rezeki yang halal dan makan daripada sumber yang halal.

Imam Ghazali ada menyatakan: ``Penghalang antara manusia dan Tuhannya banyak bersangkut paut dengan urusan mencari rezeki. Di mana tidak sempurna urusannya dengan Allah disebabkan dia terkejar-kejar mencari rezeki.’’

Umat Islam perlu terlibat dalam perniagaan bagi memperkukuhkan ekonomi ummah dan seterusnya ekonomi Islam.

Umat Islam digalakkan berusaha mencari rezeki yang halal dan tidak meminta-minta. ``Tangan yang di atas itu lebih mulia daripada tangan yang di bawah’’.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: ``Tidak seseorang itu makan daripada makanan yang lebih baik daripada yang diusahakannya sendiri. Ketahuilah sesungguhnya Nabi daud a.s beroleh makanan hasil usahanya sendiri.’’ (Riwayat Bukhari).

Contohilah usahawan yang berjaya dan beriman Abdul Rahman bin Auf yang Berjaya dalam perniagaan dan tidak pernah meninggalkan solat secara berjemaah, sentiasa membaca al-Quran dan sentiasa berzikir.

Umar al-Khattab ada menyebut: ``Aku ingin mati ketika Fisabilillah dan kalau tidak dapat, aku mahu mati ketika sedang berniaga.’’


Daripada segi ekonomi pula, perniagaan dapat membantu meningkatkan modal dan asset umat Islam selain dapat meningkatkan kedudukan ekonomi ummah serta mengangkat martabat dan imej Islam serta menjamin kedaulatan Islam tidak dicemari.

Jika modal umat Islam terus meningkat ia juga dapat meningkatkan simpanan umat Islam dalam bentuk zakat dan khazanah Baitulmal bagi membantu umat Islam yang serba kekurangan.