Ads 468x60px

KOPERASI IKATAN PERPADUAN NEGERI SEMBILAN BERHAD

Gerakan Koperasi


 Gerakan koperasi diasaskan oleh Robert Owen (1771–1858), seorang pedagang kapas dari Wale.

Atas jasa beliau itulah, Owen telah dikenali sebagai Bapa Pergerakan Koperasi.

Bagaimanapun, Dr. William King (1786–1865) merupakan tokoh yang bertanggungjawab mengetengahkan sistem koperasi secara tersusun melalui penerbitan majalah bulanan yang dikenali sebagai `The Cooperator’ pada 1 Mei, 1828.

Sempena nama majalah itulah koperasi mendapat namanya.

Ia mengandungi falsafah koperasi dan nasihat praktikal tentang cara mengusahakan kedai menggunakan prinsip-prinsip koperasi.

King kemudian menggerakkan idea Owen itu menjadi lebih berjaya dan praktikal. King percaya dengan memulakan sesuatu perniagaan secara kecil-kecilan, kumpulan pekerja perlu bergabung menubuhkan koperasi.

Ia diikuti dengan usaha beberapa penenun kain miskin bergabung menubuhkan the Rochdale Equitable Pioneers Society pada akhir 1843, yang turut dikenali sebagai The Rochdale Pioneers.

Kumpulan ini kemudian memperkenalkan the Rochdale Principles pada 1844, yang amat berpengaruh dalam pergerakan koperasi.

Daripada segi sejarahnya, gerakan koperasi telahpun berusia 319 tahun.

Di Malaysia, sejarah koperasi bermula pada 1922 apabila koperasi pertama Syarikat Bekerjasama-sama Kampung Tebuk Haji Musa, Kerian Dengan Tanggungan Tidak Berhad ditubuhkan.

Koperasi pertama didaftarkan pula ialah The Federated Malay States Posts and Telegraphs Cooperative Thrift and Loan Society Limited yang didaftarkan pada Julai 1922.

Sementara gerakan koperasi di Sarawak pula bermula pada 3 Mei 1949 manakala di Sabah pada tahun 1959.

Pada umumnya, koperasi dapat membantu:

1. Mewujudkan peluang pekerjaan, menghapuskan pengangguran

2. Menghapuskan ah long

3. Meningkatkan taraf hidup rakyat, terutama penduduk kampung dan golongan berpendapatan rendah

 4. Menghapuskan kemiskinan

5. Usaha menyusun semula masyarakat

6. Melahirkan masyarakat peniaga dan industri di kalangan bumiputera

7. Jika sumber koperasi digembleng ia dapat membantu meningkatkan aset orang Melayu dan bumiputera dan mengumpul modal bagi melaksanakan aktiviti pelaburan, perindustrian dan perniagaan.

8. Menggalakkan menabung, untuk keperluan masa tua dan pendidikan anak-anak.

Dalam situasi ekonomi dunia yang sedang gawat sekarang. Koperasi boleh menjadi mekanisme paling berkesan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat, terutama penduduk desa dan golongan berpendapatan rendah.

Sektor itu boleh menjadi enjin pertumbuhan ekonomi ketiga terpenting bagi negara, selepas sektor awam dan swasta, jika ia dibangunkan sepenuhnya.

Dengan 5,052 koperasi dan ahli sebanyak 5.2 juta orang serta aset bernilai RM21 bilion pada ketika ini, sektor itu mampu menjana ekonomi negara jika sumber-sumber koperasi digembleng sepenuhnya.

Selain itu, RM4.6 bilion aset lagi diuruskan oleh Bank Rakyat dan sekitar RM285 juta lagi disimpan oleh koperasi-koperasi dalam akaun semasa di pelbagai bank yang tidak memberikan pulangan yang baik.

Koperasi yang berjaya juga mampu mengatasi masalah sosial, termasuk menghapuskan kemiskinan termasuk masalah `Ah Long’ yang sering melanda masyarakat miskin dan golongan berpendapatan rendah.

Selain itu, koperasi boleh menjadi alat berkesan dalam usaha menyusun semula masyarakat dan melahirkan masyarakat peniaga dan industri bumiputera.

Semasa gerakan koperasi mula diperkenalkan di England, koperasi ditubuhkan untuk membantu golongan petani berpendapatan rendah tetapi, dalam era moden ini, koperasi boleh menjadi ejen perubahan untuk mengubah nasib hidup rakyat yang berpendapatan rendah bukan sahaja di desa, tetapi juga di kota.

Maka, jika sumber koperasi digembleng ia dapat membantu meningkatkan aset orang Melayu dan bumiputera dan mengumpul modal bagi melaksanakan aktiviti pelaburan, perindustrian dan perniagaan.

Malah koperasi yang berkesan boleh menjadi badan tabungan dan simpanan untuk masyarakat, khususnya orang Melayu yang kurang memberi tekanan kepada keperluan menabung untuk masa tua dan pendidikan anak-anak.

Malah ia juga dapat menjadi alat berkesan mengatasi pengangguran.

Sejak ditubuhkan oleh Kabinet pada 2 Mac, 2005, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi menggantikan Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) dilihat dapat mengukuhkan usaha membangunkan sektor koperasi,

Ia (SKM) akan berfungsi merealisasikan sektor itu sebagai salah satu pemangkin strategik dalam membangunkan ekonomi negara.

SKM akan bertanggungjawab mengawal selia kesemua 5,052 koperasi di negara ini di bawah satu bumbung bagi memastikan ia selamat dan kukuh, terutama dalam aspek pengurusan dan kewangan.

Jika di Eropah terutama di Britain, koperasi sudah begitu jauh maju tetapi di Malaysia, walaupun koperasi yang pertama di negara ini ditubuhkan pada 1922, tetapi kejayaan koperasi di negara ini masih jauh menepati sasaran bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi masyarakat golongan berpendapatan rendah dan desa.

Sebahagian besar koperasi di negara ini mempunyai prestasi kewangan dan kedudukan mudah tunai yang teruk, standard urus tadbir yang lembap dan kepatuhan kepada Akta Koperasi yang lemah.

Jika perkara ini dibiarkan, sasaran menjadikan koperasi sebagai sektor strategik menjana ekonomi negara sukar direalisasikan.

Semangat dan etika koperasi sangat sinonim dengan budaya Melayu, terutama masyarakat Melayu di desa yang memberi keutamaan kepada semangat kejiranan, tolong-menolong, muafakat, kerjasama dan bersatu.

Sehingga hari ini, semangat gotong-royong semasa majlis kenduri, perkahwinan dan kematian masih menebal di kalangan masyarakat Melayu terutama yang tinggal di kampung-kampung.

Sekiranya, semangat dan budaya ini dapat diterapkan dalam koperasi, masyarakat Melayu di desa dan bandar dapat mengumpul modal yang besar untuk melaksanakan sesuatu aktiviti perniagaan atau industri yang boleh membawa faedah kepada komuniti.

Koperasi pertama di Malaysia pula ialah Syarikat Bekerjasama-sama Kampung Tebuk Haji Musa, Kerian Dengan Tanggungan Tidak Berhad, manakala koperasi yang pertama didaftarkan pula ialah The Federated Malay States Posts and Telegraphs Cooperative Thrift and Loan Society Limited yang didaftarkan pada Julai 1922.

Sementara gerakan Koperasi di Sarawak pula bermula pada 3 Mei 1949 manakala di Sabah pada tahun 1959.

Jika masyarakat boleh digalakkan menyertai koperasi bagi membantu meningkatkan taraf hidup mereka dan menjadi alternatif kepada `Ah Long’.

Jika koperasi mempunyai sokongan kewangan yang kukuh daripada ahli menerusi perniagaan bersama dan dibantu bersama oleh syarikat gergasi Melayu dan syarikat milik kerajaan (GLC), usaha yang berterusan akan dapat menghasilkan empayar perniagaan Melayu yang bebas daripada gangguan Ah Long.

Mungkin koperasi boleh dijadikan kokurikulum baru di sekolah bagi menanam semangat keusahawanan di kalangan pelajar.

Generasi muda perlu didedahkan dengan pengetahuan koperasi sejak di bangku sekolah lagi bagi menyemai minat dalam bidang tersebut.

Sekolah-sekolah yang tidak mempunyai koperasi supaya segera menubuhkannya. Setakat ini hanya terdapat 2,000 koperasi sekolah.

Koperasi jika dimajukan secara berhemat dan dinamik mampu meningkatkan perpaduan masyarakat dan menjana ekonomi negara.

Melalui penyatuan tenaga kerja, modal dan semangat, koperasi boleh menjadi enjin penggerak sesuatu kawasan dan boleh memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk sama-sama meningkatkan taraf hidup mereka.

Pemimpin koperasi supaya berfikir seperti ahli perniagaan dan pada masa yang sama seperti pentadbir masyarakat.

Tabungan koperasi juga harus digunakan dengan lebih berkesan dan tidak hanya disimpan dalam simpanan tetap dengan harapan untuk mendapat dividen semata-mata.

Tabungan itu juga boleh digunakan dengan cara yang lebih berfaedah seperti bantuan mikro kredit kepada ahli atau pelaburan yang dapat mengembangkan perniagaan mereka atau tabung bagi digunakan sebagai sumber kewangan oleh koperasi lain.

Kerjasama sesama koperasi perlu dikukuhkan melalui rangkaian yang lebih erat antara satu sama lain sama ada bagi tujuan perniagaan dan perdagangan mahupun untuk kemudahan sosial ahli.

Konsep penyatuan dan kerjasama di kalangan penduduk kampung boleh dipupuk dalam usaha membangunkan kawasan luar bandar iaitu untuk membasmi kemiskinan dan mengurangkan jurang ekonomi dengan kawasan bandar.

Sehubungan itu, adalah rasional sekiranya kerajaan dapat mewajibkan setiap kampung menubuhkan koperasi sebagai alat meningkatkan taraf ekonomi masyarakatnya dengan dipantau oleh kerajaan melalui SKM.