Kejayaan sesebuah perniagaan itu bergantung kepada banyak faktor. Begitu juga kegagalan sesebuah perniagaan itu disebabkan oleh banyak faktor dan gabungan faktor.
Salah satu daripada faktor penting yang menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu perniagaan itu ialah bergantung kepada sama ada ia mempunyai pangkalan pasaran yang kukuh atau tidak.
Oleh kerana itu, bila memperkatakan tentang dunia perniagaan, peniaga Cina di seluruh dunia termasuk di Malaysia, lebih berjaya dalam bidang tersebut kerana mereka telah mempunyai pangkalan pasaran yang cukup besar.
Bila memperkatakan tentang pangkalan pasaran ini, ia melibatkan empat elemen penting dalam perniagaan iaitu rangkaian pengeluaran, bekalan, pengedaran dan pemasaran.
Dalam konteks perniagaan di negara ini, banyak peniaga Melayu yang majoritinya beragama Islam menemui kegagalan adalah kerana mereka tidak mempunyai pangkalan pasaran yang besar. Ini bererti mereka tidak mempunyai rangkaian pengeluaran, bekalan, pengedaran dan pemasaran yang kuat dan lengkap.
Maka dalam hal ini, umat Islam perlu bersatu bagi membantu membina pangkalan pasarannya sendiri supaya perniagaan orang Islam bukan sahaja boleh berjaya, tetapi juga dapat berkembang di seluruh dunia.
Mengikut Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia pada tahun 2000, penduduk Melayu di negara ini berjumlah kira-kira 15 juta orang atau 65.1 peratus daripada keseluruhan 23.27 juta orang penduduk Malaysia.
Penduduk Islam di negara ini pula, berjumlah kira-kira 13.9 juta atau 60.4 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia.
Jika diambil kira daripada segi statistik itu, penduduk Islam dan Melayu di negara ini mampu membina pangkalan pasarannya sendiri tanpa bergantung kepada kaum-kaum lain, sekiranya mereka bersatu menyokong perniagaan orang Islam.
Sekiranya, umat Islam di negara ini dapat bersatu membantu membina pangkalan pasaran bagi perniagaan orang Islam, mereka dapat mewujudkan keseimbangan pasaran dengan
kaum-kaum lain yang lebih berjaya dalam dunia perniagaan, terutama dengan peniaga-peniaga daripada kaum Cina.
Pada masa ini, sistem pengeluaran, bekalan, pengedaran dan pasaran di negara ini, hampir dikuasai sepenuhnya oleh peniaga Cina dalam semua sektor, sama ada sektor pengguna, perindustrian, pembinaan, khidmat dagang, kewangan, hotel, harta, ladang dan perlombongan.
Malahan, sebut apa sahaja jenis perniagaan di negara ini, hampir kesemuanya dikuasi oleh peniaga Cina, daripada peringkat pengeluaran hingga pemasaran.
Daripada segi ekonominya, keadaan itu adalah tidak sihat, dan jika dibiarkan ia boleh mencetuskan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum di negara ini dan melebarkan jurang kekayaan antara kaum serta boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati, sehingga ia akhirnya boleh mengugat perpaduan kaum.
Jika umat Islam di negara ini dapat membina pangkalan pasaran dan rangkaian pengeluaran, bekalan, pengedaran dan pemasarannya sendiri, keadaan itu akan dapat mewujudkan suasana perniagaan yang mesra dan harmoni dalam negara, apabila tidak wujud lagi suasana monopoli oleh sesuatu kaum dalam perniagaan.
Sebaliknya, suasana monopoli itu akan digantikan dengan suasana kerjasama antara peniaga-peniaga Islam dengan peniaga-peniagan daripada kaum lain di negara ini dalam perniagaan, termasuk dengan peniaga-peniaga Cina yang sudahpun kukuh dan berjaya.
Sekiranya, peniaga-peniaga Islam sudah dapat membina pangkalan pasarannya sendiri, maka peniaga-peniaga Cina yang telah maju dalam dunia perniagaan akan dapat menerima peniaga Islam dan Melayu di negara ini sebagai rakan mereka dan bukan lagi sebagai pesaing yang boleh mengugat mereka.
Jika keadaan itu dapat dicapai, ia bukan sahaja akan menguntungkan setiap kaum di negara ini daripada segi perniagaan dan ekonomi, tetapi juga dapat memaju ekonomi negara dengan lebih laju lagi, kerana semua kaum telah dapat bersatu bagi membangunkan ekonomi kaum sendiri dan negara sekali gus tanpa sebarang curiga.
Bagi mencapai maksud tersebut, kaum Cina di negara ini, yang telah berjaya dalam ekonomi sepatutnya tidak melihat kebangkitan umat Islam dan orang Melayu dalam perniagaan dan perindustrian sebagai ancaman, sebaliknya membantu umat Islam dan orang Melayu supaya mereka cepat berjaya bukan sahaja dalam perniagaan tetapi juga bagi membina pangkalan pasarannya sendiri, supaya mereka akhirnya dapat bekerjasama sebagai rakan.
Mungkin ia sesuatu yang terlalu ideal untuk diimpikan, tetapi ia juga bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai, sekiranya kaum-kaum di negara ini ikhlas untuk membantu kaum yang lemah dan apa yang lebih penting ialah untuk melihat negara ini terus maju.
Malangnya, pada masa ini, realiti itu tidak berlaku, ramai peniaga Islam dan Melayu di negara ini gagal dalam perniagaan, kerana mereka tidak mempunyai pangkalan pasaran mereka sendiri disebabkan mereka tidak mendapat sokongan daripada umat Islam sendiri dan jauh sekali untuk mendapat bantuan dan bimbingan daripada kaum-kaum lain yang telah berjaya dalam perniagaan.
Sehingga hari ini, usaha membantu peniaga Melayu dan bumiputera di negara ini masih diteruskan oleh kerajaan kerana kerajaan menyedari peniaga Melayu dan bumiputera masih jauh ketinggalan dan masih perlukan bantuan.
Tetapi umat Islam dan orang Melayu harus sedar mereka tidak boleh bergantung kepada bantuan kerajaan selama-lamanya untuk berjaya dalam dunia perniagaan, sebaliknya mereka kini perlu berusaha sendiri untuk membuktikan mereka juga mampu berjaya seperti orang lain tanpa bantuan kerajaan.
Sehubungan itu, sudah sampai masanya, umat Islam bangkit dan bersatu bagi membina pangkalan pasarannya sendiri supaya mereka tidak perlu lagi bergantung kepada bantuan kerajaan dan seterusnya tidak bimbang lagi untuk berniaga kerana mereka sudah mempunyai pangkalan pasaran yang mencukupi dan kuat untuk mereka terus berada dalam perniagaan.
Malahan, peniaga-peniaga Islam yang baru mampu dan boleh menyertai dunia perniagaan tanpa bimbang berdepan dengan kerugian kerana mereka sudah mempunyai pangkalan pasaran yang kukuh untuk terus berada dalam pasaran, asalkan mereka sanggup berkerja kuat untuk berjaya.
Daripada segi hukumnya, usaha bantu-membantu bagi membina pangkalan pasaran bagi umat Islam adalah suatu fardhu kifayah.
Ini kerana, jika seseorang peniaga Islam itu gagal dalam perniagaan kerana tidak mendapat sokongan umat Islam, maka semua umat Islam di kawasan terbabit menanggung dosanya.
Perkara ini sudah jelas dan semua umat Islam tidak mempertikaikan tentangnya, tetapi malangnya kefahaman mereka itu tidak disusuli dengan amalan iaitu daripada segi tindakan.
Sesungguhnya, sokongan dan bantuan umat Islam itu sangat penting dan wajib. Jika umat Islam masih leka dan tidak ambil peduli serta enggan bersatu membina pangkalan pasarannya sendiri sehingga peniaga Islam atau Melayu terpaksa gulung tikar, maka ekonomi umat Islam akan terjejas dan apabila ekonomi umat Islam terjejas maka maruah umat Islam akan tergadai.
Jika itu berlaku maka umat Islam akan jadi umat yang mundur dan dihina dan lebih buruk lagi agama Islam akan dipersalahkan serta dianggap sebagai agama yang mundur dan tidak membawa kemajuan.
Akhirnya, umat Islam akan menjadi hamba dan dijajah daripada segi ekonomi dan kita tidak akan mampu berbuat apa-apa untuk membela umat Islam dan agama Islam sekiranya berlaku sesuatu musibah kerana kita tidak mempunyai kekuatan daripada segi ekonomi.